Pages

Sunday 3 July 2011

Himpunan Hadis - Hadis Rasullullah 3

Himpunan Hadis - Hadis Rasullullah 3

Nilai Seorang Manusia
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.”


Riwayat Muslim


Kunci Kemurahan Rezeki
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.”


Riwayat Bukhari & Muslim


Islam Dan Ekonomi Saling Memerlukan
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Pada akhir zaman kelak manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunianya.”


Riwayat at-Thabrani


Ingin Melihat Tuhan?
Hadith :
Dari Abdullah bin Syaqiq, katanya: “Kataku kepada Abu Zar: Sekiranya saya berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. nescaya kutanyakan kepada beliau suatu soalan. Kata Abu Zar:” Tentang apa?” Jawab Abdullah:” Apakah tuan melihat Allah?” Kata Abu Zar:” Itu pernah ku tanyakan kepada beliau, dan dijawabnya:” Saya hanya melihat sinar (nur)”.


(Muslim)


Qana’ah
Hadith :
Dari Abdullah bin Amru bin ‘Ash r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sungguh amat beruntunglah orang yang Islam (berserah diri) dan merasa cukup dengan apa yang direzekikan Allah serta berpada dengan apa yang diberikan-Nya.”


(Muslim)


Kerana Jihad
Hadith :
Dari Jundub bin Sufyan r.a katanya: “Jari Rasulullah s.a.w berdarah kerana luka dalam suatu peperangan. Maka bersabda Rasulullah s.a.w :”Bukankah engkau hanya sebatang jari yang berdarah. Dan ini terjadi ketika engkau ikut berjihad fisabilillah.”


(Muslim)


Kembali Ke Asalnya
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Allah Taala menjadikan Adam pada permulaan kejadiannya ialah seperti rupanya di bumi, tingginya enam puluh hasta. Setelah dia selesai tercipta, Allah Taala berfirman kepadanya:”Pergilah kepada kelompok malaikat yang sedang duduk. Dengarkan jawapan mereka menjawab salammu. Begitulah cara kamu dan cara anak cucumu nanti memberi salam (penghormatan).” Maka pergilah Adam kepada kelompok malaikat itu, lalu diucapkannya salam:”Assalamualaikum” (selamat sejahtera ke atasmu). Jawab para malaikat:”Assalamualaika warahmatullah” (selamat sejahtera ke atas kamu juga dan beroleh rahmat Allah). Firman Allah:”Setiap orang yang masuk syurga bentuknya seperti Adam. Tingginya enam puluh hasta, sekalipun makhluk kemudian semakin pendek hingga sekarang.”


(Muslim)


Kemudahan Dalam Bermusafir
Hadith :
Dari Ibnu Umar r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya Allah suka (redha) supaya rukhsah-rukhsah yang diberikannya diamalkan sebagaimana ia tidak suka perkara-perkara maksiat dilakukan.”
(Ahmad)


Nazar Tidak Dapat Mengubah Takdir
Hadith :
Dari Abu Hurairah katanya, nabi s.a.w bersabda:”Sesungguhnya nazar itu tidak dapat mendekatkan seseorang kepada sesuatu yang ditakdirkan Allah belum akan menjadi miliknya. Tetapi nazar itu sesuai dengan qadar. Dengan nazar dapat dipungut pembayaran dari orang-orang bakhil yang sebelumnya tidak bersedia membayarnya.”
(Muslim)


Berlindung Dari Mala Petaka
Hadith :
Daripada Ubai bin Kaab r.a. katanya: “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila sampai 1/3 malam baginda pun bangun lalu bersabda, “ Wahai sekalian manusia ingatlah kamu semua kepada Allah, telah datang goncangan yang pertama (gegaran/tiupan pertama) yang diikuti dengan peristiwa yang amat dahsyat (golombang/tiupan kedua) telah datang maut dengan bermacam-macam kesengsaraan, telah datang mati dengan bermacam-macam bentuk kesusahan (ketika datangnya sakaratul maut). Aku berkata:“ Ya Rasulullah, sesungguhnya aku akan memperbanyakkan selawat ke atasmu, maka sebanyak manakah yang aku perlu berselawat ke atasmu?” Baginda menjawab’ “Seberapa yang banyak kamu kehendaki”. Aku bertanya lagi, 1/4? Beliau menjawab, seberapa banyak yang kamu kehendaki maka jika kamu tambah ianya menjadi kebajikan (selamat) kepada kamu. Aku bertanya lagi, “Bagaimana jika separuh?” beliau menjawab, “ Seberapa banyak yang kamu kehendaki, maka jika kamu tambah menjadi kebajikan kepada kamu”. Aku bertanya lagi, “Bagaimana jika 2/3?” Baginda menjawab seberapa banyak yang kamu kehendaki, maka jika kamu tambah ianya menjadi kebajikan kepada kamu”. Aku bertanya lagi, “bagaimana jika aku jadikan sepenuhnya untuk berselawat kepada mu?” Baginda menjawab, “Oleh yang demikian segala kehendakmu akan dipenuhi dan diampuni segala dosamu”.
(Hassan)


Kelebihan Menyegerakan Berbuka Puasa
Hadith :
Daripada Sahal bin Said r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya akan mendapat kebaikan yang berterusan”.
(al-Bukhari dan Muslim)


Syurga Ar-royyan Untuk Orang Yang Berpuasa
Hadith :
Daripada Sahl bin Sa’ad berkata: Bersabda Nabi s.a.w. “Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang-orang yang berpuasa di hari qiamat. Tidak dapat masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya:”Dimanakah orang – orang yang telah berpuasa?” Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa sahaja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa sahaja.”
(Bukhari & Muslim)


Pantang Menyerah Sebelum Ajal
Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a, nabi s.a.w bersabda:”Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian kerana suatu malapetaka yang menimpanya. Jika ia tidak dapat berbuat sesuatu (sudah puas berubat atau berikhtiar) maka hendaklah ia berdoa:”Wahai Tuhanku, hidupkanlah aku seandainya kehidupan itu lebih baik bagiku, tetapi matikanlah aku seandainya kematian itu lebih baik bagiku.”
(Bukhari)


Wanita Solat Di Belakang Lelaki
Hadith :
Abu Naim mennyampaikan kepada kami katanya, Ibnu ‘Uyainah menyampaikan kepada kami, daripada Ishaq katanya:”Nabi s.a.w solat di rumah Ummu Sulaim lalu berdiri dan seorang anak yatim di belakang baginda dan Ummu Sulaim di belakang kami.”
(Bukhari)


Kewajiban Berpuasa Dibulan Ramadhan
Hadith :
Daripada Abi Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; “Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan (hilal) dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat hilal. Apabila hilal terlindung awan daripada pandangan kamu, maka sempurnakanlah bulan tersebut (tiga puluh hari)”.


Perbandingan Antara Orang Yang Pemurah Dengan Orang Yang Kedekut
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Perumpamaan orang yang kedekut dengan orang yang pemurah seperti dua orang yang memakai baju besi yang menutupi dadanya sampai ke leher. Orang yang pemurah, bajunya lapang dan sempurna menutupi badannya hingga ke anak-anak jarinya dan menghapus jejaknya (dosanya). Sedangkan orang yang kedekut disebabkan ia tidak mahu menafkahkan hartanya, maka tiap-tiap cantuman bajunya sendat di tempatnya; ia berusaha mahu melonggarkannya tetapi tidak pula longgar.”
(al-Bukhari)


Cara Malaikat Mengambil Nyawa Manusia
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: "…..Dan apabila seseorang mukmin sampai masa matinya ia digembirakan oleh Malaikat yang hendak mengambil nyawanya: Bahawa ia akan beroleh rahmat Allah dan keredhaan-Nya serta Syurga-Nya, maka pada ketika itu tidaklah ada sesuatu yang dicintai oleh orang itu lebih daripada menerima apa yang dihadapinya, lalu ia suka dan ingin mengadap Allah, dan Allah juga redha menerimanya dengan sebaik-baik sambutan; dan apabila seseorang yang kafir atau yang berdosa didatangi oleh Malaikat yang hendak mengambil nyawanya, ia diberitahu bahawa ia akan beroleh azab seksa Allah dan kemurkaan-Nya, maka ketika itu tidaklah ada sesuatu yang dibencinya lebih daripada yang dihadapinya; dengan sebab itu maka ia merasa gerunan tidak suka mengadap Allah, dan Allah juga tidak redha ia mendekati rahmat-Nya apalagi mengadap-Nya."
Dari Sebilangan Sahabat r.a


Beribadat Dalam Suasana Huru-hara
Hadith :
Daripada Mukkil bin Yasar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Beribadat dalam keadaan kekacauan (huruhara/malapetaka) sama kelebihannya dengan berhijrah kepadaku”
(Muslim)


Pembesar Melalaikan Solat
Hadith :
Dari Abu Dzar r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku:”Bakal terjadi sesudahku, di mana para pembesar melalaikan solat. Kerana itu solatlah kamu tepat pada waktunya. Jika kamu solat kembali bersama mereka, maka itu adalah suatu keuntungan (sunat) bagimu. Jika tidak maka sesungguhnya kamu sudah menjaga solatmu.”
(Muslim)


Muslim Yang Terpelihara
Hadith :
Dari Abdullah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Memaki orang Muslim adalah (fasiq) dan membunuhnya, kafir.”
(al-Bukhari)


Dakwah Yang Berhikmah
Hadith :
“Daripada Abu Hurairah r.a. katanya:” Seorang Arab Badwi telah membuang air kecil di dalam masjid, lalu orang ramai pun bangun hendak bertindak ke atasnya. Maka rasulullah s.a.w bersabda (yang maksudnya): “Biarkan dia (hingga selesai ia membuang air kecil) dan siramkan sebaldi atau segayung air ke atas kencingnya itu. Sesungguhnya kamu diperintah untuk memberi kemudahan, bukan untuk mendatangkan kesusahan.”
Riwayat al-Bukhari


Keistimewaan Khadijah
Hadith :
Dari ‘Aisyah r.a katanya:”Saya tidak cemburu kepada seorang perempuan seperti cemburunya saya kepada Khadijah. Sesungguhnya Tuhan telah menyuruh Nabi untuk menyampaikan berita gembira kepada Khadijah akan memperoleh rumah di dalam syurga.”
(Bukhari)


Terima Undangan Dan Menerima Hadiah
Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksid: “Sekiranya aku dijemput menghadiri sesuatu majlis mahupun kecil atau besar nescaya aku menerima jemputan tersebut dan sekiranya aku dihadiahkan sesuatu barang yang bernilai atau tidak nescaya aku menerimanya juga”


Riwayat Hadith Al-Bukhari


Asal Usul Azan
Hadith :
Dari Abdullah bin Umar katanya:”Adalah kaum muslimin ketika baru sampai di kota Madinah, berkumpul menunggu waktu sembahyang kerana belum ada cara untuk memberitahu. Pada suatu hari mereka itu bermesyuarat tentang cara pemberitahuan waktu; ada yang mengatakan supaya menggunakan loceng seperti Nasrani dan ada pula yang mengatakan supaya menggunakan trompet seperti Yahudi. Maka berkata Umar bin al-Khattab r.a:” Bukankah lebih baik menyuruh seseorang meneriakkan atau memberitahukan waktu sembahyang?” Bersabda Rasulullah s.a.w:”Hai Bilal, pergilah dan ajaklah orang-orang bersembahyang.”
(Muslim)


Muliakanlah Anak Yatim
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua ini di syurga kelak.” Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan).”
(Bukhari)


Kecelakaan zina
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:” Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi sama mengutuk orang yang selalu berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam neraka dapat mengganggu ahli neraka kerana sangat busuknya. ”


Riwayat al-Bazzar


Isteri Jangan Tolak Permintaan Suami Untuk 'bersama'.
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya:”Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidur, tetapi tidak diendahkan oleh isterinya, lalu malam itu suaminya marah kepadanya maka isteri itu mendapat kutukan malaikat sehingga Subuh.”
(Muslim)


Tambahi pahala jauhi Dosa
Hadith :
Daripada Wabisah bin Makbud
Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
“Adakah engkau datang kerana hendak bertanya mengenai kebajikan? Aku menjawab ‘ia’ maka sabdanya lagi mintalah fatwa (pertimbangan) hatimu sendiri, kebajikan itu ialah apa yang membawa ketenangan kepada jiwa dan ketenangan hati. Dosa ialah perasaan bimbang dalam jiwa serta perasaan ragu-ragu didalam dada (hati) sekalipun orang ramai telah memberi fatwa kepadamu dan sekalipun kamu telah diberi fatwa oleh mereka”


Riwayat Ahmad & ad-Darami


Pekerja Bukan Hamba
Hadith :
Dari Khaitsamah r.a katanya:” Ketika kami sedang duduk (belajar) dengan Abdullah bin Umar tiba-tiba datang bendaharanya, lalu dia masuk ke dalam majlis. Kata Abdullah kepadanya:” Sudahkah kamu memberi makan kepada para hamba sahaya? Jawab bendahara:”Belum tuanku!” Kata Abdullah selanjutnya:”Bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda:”Alangkah besar dosanya orang yang menahan-nahan makan (upah dan sebagainya) terhadap orang yang menjadi tanggungjawabnya.”
(al-Bukhari)


Mehnah Dalam Kehidupan Bermasyarakat
Hadith :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Mukmin yang mencampuri manusia dan bersabar atas penyiksaan mereka adalah lebih mulia daripada mukmin yang tidak bercampur dengan manusia dan tidak bersabar atas penyiksaan mereka."
Riwayat Ahmad


Mani; Najis Atau Tidak?
Hadith :
Dari Amar bin Maimun r.a katanya:”Aku bertanya kepada Sulaiman bin Yasar perihal mani apabila mengenai pakaian seseorang; apakah cukup dengan membersihkan yang terkena mani itu sahaja ataukah harus mencuci kain itu seluruhnya?” Jawabnya:”Aisyah pernah mengkhabarkan kepadaku bahawa Rasulullah SAW hanya membersihkan bahagian yang kena mani itu sahaja; kemudian beliau pergi solat dengan memakai kain itu. Aku memang melihat bekas cucian di kain itu.”

(Muslim)


Menghayati
Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Bacalah al-Quran dan menangislah, dan jika tidak boleh menangis buat-buatlah menangis”

(at-Tabrani)


Menyamaratakan Kasih Sayang
Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Persamakan antara anak-anak kamu dalam pemberian.”

(At-Tabrani)


Sempurnakan Sujudmu!
Hadith :
Dari Anas RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Sempurnakanlah sujud mu! Jangan membentangkan dua siku seperti anjing (tidur).”


Imam Mahadi Pembawa Rahmat
Hadith :
Rasulullah s.a.w telah menyebut satu bala bencana akan menimpa umat ini sehingga seseorang tak dapat tempat untuk berlindung daripada kezaliman; maka Allah Taala lahirkan seorang dari keturunanku dan ahli rumahku, serta Tuhan penuhkan bumi dengan kejujuran dan keadilan disebabkan pemerintahannya, sebagaimana bumi sebelum itu penuh dengan kezaliman dan kecurangan; penduduk langit dan bumi puas hati dengan pemerintahannya; langit pula tidak meninggalkan sedikit pun dari hujannya melainkan dicurahkannya dengan lebat, dan bumi juga tidak meninggalkan dari tumbuh-tumbuhannya melainkan dikeluarkan dengan sebanyak-banyaknya, sehingga orang yang hidup suka kalau orang-orang matinya hidup semula (supaya mereka dapat menikmati kemakmuran itu bersama); Mahadi itu akan hidup dalam keadaan yang tersebut selama tujuh atau lapan, atau pun sembilan tahun."

Abu Sa'id Al-Khudri r.a


Lima Nama Rasulullah
Hadith :
Dari Jubair bin Muth’in, katanya:”Aku mempunyai lima nama. Aku Muhammad (dipuji), aku Ahmad (amat terpuji), aku Mahi (penghapus) yang Tuhan menghapuskan kekafiran dengan usahaku, aku Hasyir (pengumpul) di mana dikumpulkan manusia di belakangku dan aku ‘Aqib (penghabisan).”

(Bukhari)


Banyakkan Bersabar
Hadith :
Daripada Anas r.a. katanya, “ Aku berjalan bersama- sama Rasulullah s.a.w. Baginda memakai selendang kasar tepinya buatan Najran. Baginda bertemu dengan seorang Arab badwi lalu direntapnya selendang baginda dengan rentapan yang kasar sehingga aku melihat kesan di tengkuk baginda akibat rentapan yang kasar itu. Kemudian orang arab itu berkata: “Wahai Muhammad perintahkanlah supaya diberikan kepadaku daripada harta Allah apa yang ada pada kamu,” Maka rasulullah s.a.w berpaling kepadanya sambil ketawa. Kemudian baginda memerintahkan supaya diberikan sedekah kepadanya”.

Riwayat al-Bukhari dan Muslim


Bakhil Meskipun Kaya
Hadith :
Dari Abdullah bin Mas’ud, katanya: ”Bersabda Rasulullah s.a.w. “ Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya seberat zarah (atom) dari sifat takbur (sombong).” Berkata seorang laki-laki: “Sesungguhnya semua orang ingin agar pakaiannya bagus dan sandalnya bagus.” Berkata Rasulullah s.a.w. “Sebenarnya Allah itu bagus dan cinta kepada kecantikan); takbur itu ialah menolak kebenaran dan tidak menghargai orang lain.”

(Muslim)


“kasi” Vs “kahwin”
Hadith :
Dari Sa’ad bin Abi Waqas r.a katanya:”Rasulullah SAW pernah melarang ‘Usman bin Mazh’un untuk membujang selamanya kerana semata-mata hendak melakukan ibadah kepada Allah. Andaikan Rasulullah SAW mengizinkan tentunya kami sudah mengebiri (mengkasikan) diri kami.”

(Muslim)


Ihsan majikan
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila hamba sahayamu membuatkan makanan bagimu, kemudian makanan itu dibawanya ke hadapanmu dalam keadaan panas dan berasap, suruhlah ia duduk dan makanlah bersama-sama dengannya. Jika makanan itu hanya sedikit, letakkan di tangannya sesuap atau dua suap.”

(Muslim)


Bid’ah
Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Siapa yang mengamalkan suatu amal (ibadat) yang tidak pernah kami lakukan maka amalnya itu ditolak.”

(Muslim)


Usah Pentingkan Diri Sendiri
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: “Bersabda Rasulullah SAW: “ Tiga macam orang bukan saja tidak akan mendapat layanan dan ampunan pada hari kiamat kelak, bahkan akan mendapat seksa yang pedih, iaitu seorang yang mempunyai kelebihan air di tengah padang pasir, sedangkan ia tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan, seorang yang menjajakan barang dagangannya sesudah lewat waktu Asar sambil bersumpah dusta bahawa pokoknya sekian-sekian dan dipercayai oleh si pembeli dan seorang lagi yang membai’at pemimpin hanya untuk maksud manfaat keduniaan; apabila kelak maksudnya tercapai, ia patuh dan jika tidak, ia mungkir (berpaling tadah).”

(Muslim)


Orang Gaji Dan Majikan
Hadith :
Dari Jarir r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda:”Apabila seseorang hamba sahaya lari dari majikannya, lepaslah tanggungjawab majikan daripadanya.”

(Muslim)


Keharusan Menziarahi Orang Kafir Yang Sakit
Hadith :
Anas r.a berkata:”Seorang anak Yahudi yang berkhidmat dengan nabi s.a.w telah jatuh sakit, maka baginda s.a.w telah datang melawatnya. Baginda duduk di sisi kepala serta berkata kepada anak itu:”Terimalah Islam (iaitu masuklah kamu ke dalam agama Islam)”. Anak itu melihat kepada bapanya yang berada di sisinya, lalu bapanya itu berkata kepadanya:”Patuhlah kepada seruan Abu al-Qasim ini.“ (mendengar bapanya berkata demikian) dia terus menerima agama Islam (dengan mengucapkan dua kalimah syadahadah). Selepas itu nabi s.a.w keluar dari tempat itu lantas bersyukur kepada Allah dengan ucapan:”Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan dari api neraka.”

(Bukhari)


Pemimpin Yang Adil Mendapat Kedudukan Tinggi Disisi Allah
Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah akan menduduki beberapa mimbar yang diperbuat daripada cahaya. Mereka ialah orang-orang yang berlaku adil di dalam pemerintahan, ke atas keluarga dan apa-apa yang ditadbir oleh mereka”.



Riwayat Muslim


Memelihara Hubungan
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat (kebaikan seperti) apa yang ia sendiri suka mendapatnya.”

Riwayat Bukhari dan Muslim


Kelebihan Menuntut Ilmu
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan."

Abu ad-Darda' r.a


Mempercayai Ramalan Bintang
Hadith :
Dari Zaid bin Khalid, katanya: “ Kami bersembahyang subuh dengan Rasulullah s.a.w di Hudaibaiah, sedangkan pada malamnya hujan turun. Setelah selesai, beliau menghadapkan mukanya kepada orang banyak seraya berkata: Tahukah anda apa yang telah dikatakan Allah?” Jawab mereka itu: “Allah dan Rasul-Nya yang mengetahui.” Kata Rasulullah s.a.w.: “Allah telah berkata: “Pada pagi ini ada di antara hamba-hamba-Ku yang percaya kepada-Ku dan ada pula yang ingkar; adapun yang menyatakan: “ Kita telah didatangkan hujan dari kurniaan Allah dan rahmat-Nya, maka orang itulah yang beriman kepada-Ku dan ingkar kepada bintang-bintang; adapun yang berkata, kita telah dituruni hujan sebab bintang Anu dan bintang Anu, maka orang itulah yang ingkar kepada-Ku dan percaya kepada bintang-bintang.”

(Muslim)


Jauhi Arak Untuk Keselamatan Negara
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Dalam persoalan arak ada sepuluh orang yang dikutuk kerananya iaitu pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan hasil wangnya, pembayarnya dan pemesannya ”



Riwayat Anas


Keikhlasan Dalam Menuntut Ilmu
Hadith :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesiapa yang mempelajari ilmu yang boleh mendapatkan keredhaan Allah, sedangkan dia mempelajarinya kerana ingin mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan dapat mencium bau syurga di hari akhirat kelak.”

Riwayat Abu Daud


Kewajipan Suami Memberi Nafkah
Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:” Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia(iaitu nafkah) yang diberikan adalah sedekah.”



Riwayat Ibn Majah


Cara Azan Yang Dilakukan Oleh Muazzin (bilal)
Hadith :
“Daripada Abu Juhaifah r.a. katanya, Aku telah melihat Bilal sedang Azan dan aku memerhatikan mulutnya, kepalanya kekanan dan kekiri dan dua jarinya didalam telinganya”. Diriwayatkan oleh Ahmad dan Tarmizi, beliau menganggap hadith ini panjang. Hadith yang diriwayatkan oleh ibnu majah pula menyebut, meletakkan dua jarinya kedalam dua telinganya” Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud menyebut “(Bilal) telah memalingkan tengkuknya ketika menyebut “Haiya alassolah” kekanan dan kekiri, tanpa berpusing badannya”. Asal hadith ini didalam soheh al-Bukhari dan soheh muslim.”Dan daripada Abu Mahzurah r.a. bahawa Nabi s.a.w. perkenan suaranya lalu diajarkan Azan kepadanya.

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim


Hakikat kebijaksanaan
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.”

Riwayat at-Tirmidzi


Jauhi Daripada Perbuatan Yang Mendatangkan Bala
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Sesungguhnya apabila manusia melihat manusia lain melakukan kezaliman lalu tidak melarangnya, (maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab-Nya secara umum tanpa ada yang terselamat sama ada yang melakukan kezaliman atau yang melihatnya tanpa mencegahnya. ”



Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi


Banyak Cara Untuk Bersedekah
Hadith :
Dari Abu Dzar r.a katanya:”Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah berkata kepada beliau,:”Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka.” Jawab Rasulullah SAW:”Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (menagajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah.” Mereka bertanya:”Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami?” Jawab Rasulullah SAW “ Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala.”



(al-Bukhari)


Jenazah Yang Tidak Disolatkan Oleh Rasulullah S.a.w
Hadith :
Dari jabir bin Samurah r.a katanya,”Dibawa orang kepada nabi s.a.w jenazah seorang lelaki yang membunuh diri dengan anak panah. Tetapi jenazah itu tidak disolatkan oleh baginda.”

(Muslim)


Hukum Menziarah Kubur
Hadith :
Daripada Aisyah r.a katanya: “Rasulullah s.a.w melarang kami (kaum wanita) menziarahi kubur tetapi kemudian beliau membolehkan dan mengizinkan kami.”

Riwayat Al- Hakim


Dukacita Rasulullah
Hadith :
Dari Anas r.a katanya,:”Rasulullah s.a.w pernah qunut selama sebulan iaitu ketika ahlul qurra (ahli-ahli membaca al-Quran) ramai yang tewas dalam peperangan. Belum pernah saya melihat Rasulullah s.a.w berdukacita seperti itu.”

(al-Bukhari)


Sujud tilawah
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:”Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, “Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak maka untukku neraka.”

(al-Bukhari dan Muslim)


Binatang Yang Boleh Dibunuh
Hadith :
Dari Aisyah r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:” Terdapat lima jenis binatang merbahaya yang boleh dibunuh di luar tanah haram ataupun di dalam tanah haram iaitu ular, gagak, tikus, anjing gila dan helang.”

(Muslim)


Syurga Orang Kafir; Penjara Orang Mukmin
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Dunia penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.”

(Muslim)


Cantik Dan Anggun
Hadith :
Dari Anas bin Malik, katanya: “Rasulullah SAW menentukan waktu kepada kami tentang menggunting kumis, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur ari-ari supaya jangan dibiarkan lebih dari empat puluh hari.”

(Muslim)


Tiga Golongan Yang Dilaknat
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, “Bersabda Rasulullah s.a.w.: Tiga macam orang bukan saja tidak akan mendapat layanan dan ampunan dari Allah pada hari kiamat, bahkan akan mendapat siksa yang pedih; iaitu si tua bangka yang berzina, raja atau kepala negara atau penguasa yang pendusta dan fakir yang sombong.”

(Muslim)


Pahala berganda
Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:Orang (mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani para malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda.”

(Muslim)


Solat ghaib
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Pada hari kematian raja Najasyi (Raja Habsyah), rasulullah s.a.w mengumumkannya kepada orang ramai. Sesudah itu baginda pergi ke tempat solat, lalu baginda takbir empat kali (solat ghaib).”

(Muslim)


Jangan membangga Diri
Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain”.

Riwayat Muslim


Mengkafankan mayat
Hadith :
Dari Abu Salamah r.a katanya:”Dia bertanya kepada Aisyah r.a isteri Rasulullah s.a.w katanya:”Berapa lapiskah kafan Rasulullah s.a.w?” Jawab Aisyah:”Tiga lapis kain kapas (putih).”

(Muslim)


Mengelak Penyakit Berjangkit
Hadith :
Dari Abu Salamah bin Abdur Rahman r.a katanya dia mendengar Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak ada penularan”, kemudian ditambahkannya pula, “Jangan mendekatkan yang sakit kepada yang sihat.”

(Muslim)


Adab Buang air
Hadith :
Dari Salman r.a katanya dia ditanya oleh seseorang:”Bukankah Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada kamu segala-galanya hingga masalah buang air juga?” Jawabnya,”Benar! Beliau melarang kita mengadap kiblat ketika buang air besar atau kecil. Beliau juga melarang beristinja’ dengan tangan kanan, beristinja’ kurang dari tiga biji batu dan istinja’ dengan kotoran ternak yang telah keras atau dengan tulang.”

(Muslim)


Tinggalkan Perkara Yang Meragukan
Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
“Tinggalkan apa yang membimbangkan kamu kepada apa yang tidak membimbangkan kamu”
Hadith ini Hadith Hasan soheh yang bermakna: “Tinggalkan perkara yang engkau ragu dan ambillah perkara yang engkau tidak ragu”.

Riwayat At-Tarmizi


Riddah
Hadith :
Dari Ibnu Abbas r.a katanya:”Bahawa rasulullah S.A.W bersabda:”Sesiapa yang menukar agama Islamnya maka hendaklah kamu membunuhnya.”

(Jamaah kecuali Muslim)


Pemimpin Silih Berganti
Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud: “Kaum Bani Israel biasanya dipimpin oleh para nabi. Setiap kali meninggalnya seorang nabi akan diganti pula oleh seorang nabi yang berikutnya. Sesungguhnya tiada nabi sesudahku. Ada beberapa orang pemerintah sebagai penggantiku dan banyaklah bilangan mereka itu,” Baginda bersabda,“ Lakukanlah baiah yang pertama, dan hendaklah patuh kepada pemerintahan mereka. Kamu juga hendaklah memerangi mereka yang menentang mereka, dan mohonlah kepada Allah apa-apa yang menjadi hak bagimu, Allah akan bertanya kepada khalifah-khalifah itu mengenai cara mereka mentadbir pemerintahan mereka”.

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim


Kemuliaan budi pekerti
Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Allah Azzawajalla berfirman, “Kemuliaan adalah sarungku dan kesombongan itu adalah selendangku, sesiapa yang mencabut daripadaku salah satu daripada keduanya nescaya Aku akan menyiksanya.”

Riwayat Muslim


Amalan Yang Dituntut
Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Apabila Allah hendak membahagiakan seseorang hamba-Nya, Allah Taala menyeru Jibril dengan firman-Nya: "Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah engkau mengasihinya"; Jibril pun mengasihinya; kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit katanya: Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah kamu sekalian mengasihinya; dengan itu penduduk langit pun mengasihinya; setelah itu orang yang tersebut dikasihi dan diberi sambutan di bumi. Dan apabila Allah Taala bencikan seseorang hamba-Nya, Allah memanggil Jibril serta berfirman: "Sesungguhnya Aku bencikan si anu maka hendaklah engkau bencikan dia". Jibril pun membencinya; kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk langit, katanya: "Sesungguhnya Allah bencikan si anu maka hendaklah kamu sekalian membencinya"; dengan itu penduduk langit pun membencinya; setelah itu orang yang tersebut dibenci dan dipulaukan di bumi."
ii) Orang yang mempunyai sifat dan amalan yang baik sesungguhnya amat dikasihi oleh Allah S.W.T. Dia juga disayangi oleh sekalian makhluk yang ada di langit dan bumi.
iii)Pengisytiharan kasih mahupun benci oleh Allah terhadap seseorang itu adalah sebagai memberi nilai yang sewajarnya agar kesan kebaikan dan kejahatan tersebut dapat dirasai oleh pelakunya di dunia sebelum ia menerima balasan sepenuhnya di hari akhirat.
iv)Kita selaku manusia biasa adalah tidak layak untuk menilai tentang buruk baiknya seseorang apalagi menghukum dan membenci manusia yang lain kerana hanya Allah sahaja yang berhak berbuat demikian.

Abu Hurairah r.a


Solat Minta Hujan
Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a katanya:”Nabi s.a.w tidak pernah mengangkat tangan tinggi-tinggi ketika berdoa, melainkan ketika berdoa minta hujan sehingga kelihatan putih ketiaknya.”

(Muslim)


Menjaga akhlak
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.”

Riwayat Bukhari dan Muslim


Syaitan Lari !
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya Nabi s.a.w bersabda:”Apabila dikumandangkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak terdengar olehnya azan. Apabila muazzin berhenti, ia pun kembali. Begitu pula apabila qamat dibacakan, dia pun lari. Dan apabila iqamat telah selesai, dia datang kembali. Dia sentiasa menggoda orang yang sedang solat, dengan berkata kepadanya:”Ingatlah apa yang belum kamu ingat!” Sehingga akhirnya orang itu tidak tahu lagi berapa rakaat dia telah solat.”

(al-Bukhari)


Berakhlak Baik Dan Meninggalkan Perkara Yang Tidak Bersangkutan Dengannya
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik manusia daripada kalangan kamu ialah mereka yang paling baik kepada isterinya.”



Riwayat Abu Daud


Dengki
Hadith :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak berkumpul di dalam hati seorang manusia antara iman dan dengki"

Riwayat Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi


Pertahankan Keamanan
Hadith :
Dari Abdullah bin Aufa r.a, “Rasulullah s.a.w pada suatu hari menanti musuh sehingga matahari condong. Kemudian baginda berdiri di hadapan orang ramai lalu bersabda:” Wahai saudara-saudara! Janganlah mengharap-harapkan menemui musuh, mintalah kesejahteraan kepada Allah! Tetapi jika kamu bertemu dengan musuh, sabarlah (berhati teguh)! Ketahuilah, sesungguhnya syurga itu terletak di bawah bayangan pedang”. Kemudian baginda berkata:”Wahai Tuhan yang menurunkan kitab, yang menjalankan awan dan mencerai-beraikan pasukan musuh! Cerai-beraikanlah mereka dan bantulah kami melawan mereka.:“

Bukhari


Jangan Meratapi Jenazah
Hadith :
Dari Abdullah r.a katanya, Nabi SAW bersabda: ”Tidak termasuk golongan kami orang yang menampar–nampar pipi, mengoyak-ngoyak baju dan berteriak-teriak seperti teriakan jahiliyyah (kerana meratapi mayat) .”

(al-Bukhari)


Mendirikan masjid
Hadith :
Dari Muhammad bin Labid r.a katanya:”Ketika Usman bin Affan bermaksud hendak merombak masjid (Madinah), orang ramai tidak setuju. Mereka lebih suka membiarkannya sebagaimana adanya. Maka berkata Usman bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Sesiapa yang membangunkan masjid kerana Allah, maka Allah akan membuatkan untuknya rumah seperti itu di syurga.”

(Muslim)


Tatacara berkhutbah
Hadith :
Dikhabarkan dari Ibnu Umar r.a katanya:”Nabi s.a.w berkhutbah dengan berdiri. Kemudian baginda duduk dan setelah itu berdiri semula sebagaimana dilakukan orang sekarang ini.”

(al-Bukhari)


Bersumpah
Hadith :
Dari Abdullah r.a, Nabi SAW bersabda:”Sesiapa yang bersumpah hendaklah bersumpah dengan nama Allah atau hendaklah diam sahaja.”

(al-Bukhari)


Kepentingan Berakhlak Mulia
Hadith :
Daripada Abdullah bin Amru bin al-’As r.a, katanya, “Bukanlah rasulullah s.a.w seorang yang bersifat keji dan baginda tidak pernah melakukan perkara-perkara yang keji. Baginda bersabda, “Sesungguhnya orang-orang yang terpilih antara kamu ialah orang-orang yang mulia akhlaknya.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim


Bernazar Dengan Maksiat
Hadith :
Dari Imran bin Hushain r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:”Tidak boleh melaksanakan nazar yang berupa maksiat dan tidak boleh orang melaksanakannya.”



(al-Bukhari)


Kasih Sayang Dan Kebencian Allah Mengatasi Segalanya
Hadith :
Daripada Abdullah ibn Abbas r.ahuma, bahawa rasulullah pernah berdoa, “ ya Allah aku berserah kepada engkau, aku beriman kepada engkau, aku bertawakal kepada engkau, aku kembali kepada engkau dan aku berjuang kerana engkau. Ya Allah ,aku berlindung dengan kemuliaan dan kekuatan engkau, tiada Tuhan yang aku sembah melainkan engkau, janganlah aku disesatkan . Engkau yang hidup dan tidak akan mati sedangkan jin dan manusia semuanya akan mati ( Muttafiqun alaih)

Riwayat al-Bukhari dan Muslim


Dunia Hanya Sementara
Hadith :
Dari Ibnu Ibnu Umar r.a katanya: rasulullah S.A.W memegang bahuku lalu ia bersabda:” Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara)”. Dan adalah Ibnu Umar r.a berkata:”Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau.

(al-Bukhari)


Larangan berkhalwat
Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Mana-mana lelaki tidak akan berdua-duaan (berkhalwat) dengan perempuan, melainkan pasti syaitan akan menjadi yang ketiga.”

(at-Tirmidzi)


Allah Melaknat Orang Yang Makan Riba
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:“Allah akan melaknat pemakan riba, yang memberi makan, dua orang saksinya dan juru tulisnya.”


Mendahulukan Yang Kanan
Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah SAW lebih suka mandahulukan yang kanan dalam segala keadaan (perbuatan) seperti memakai terompah, bersikat, berwudhuk dan mandi.”

(Muslim)


Sabar
Hadith :
Daripada Abu Malik al-Harith bin A`sim al-Asya`ri r.a , katanya, telah bersabda rasul s.a.w , “kesucian zahir dan batin sebahagian daripada iman, ucapan alhamdulillah memenuhi neraca, subhanallah serta alhamdulillah memenuhi neraca, subhanallah serta alhamdulillah keduanya memenuhi apa yang ada di antara langit dan bumi, sembahyang sebagai cahaya, sedekah pula bukti iman, sabar itu sebagai sinaran, al-Quran itu sebagai bukti untukmu atau atasmu dan setiap manusia dipagi lagi ada yang menjual dirinya ( memelihara diri daripada siksaan Allah) dan ada juga yang membinasakan dirinya sendiri ( tidak ingin keredaan Allah)

Riwayat Muslim


Membersihkan Najis Mughallazah
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Bersabda Rasulullah s.a.w;”Membersihkan bejana yang dijilat anjing, adalah dengan membasuhnya tujuh kali dan basuhan yang pertama dicampur dengan tanah."

(Muslim)


Beramal Dengan surah Al-kahfi
Hadith :
Daripada al-Barra r.a katanya : “ Di kala seorang lelaki membaca surah al-Kahfi tiba-tiba ia melihat binatang peliharaannya berlari dan ia melihat bagaikan sekumpulan mega atau awan lalu ia datang menemui Rasulullah SAW dan menyebutkan mengenainya kepada Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW bersabda : “ Itu adalah as-Sakinah (ketenangan) yang turun bersama al-Quran atau turun di atas al-Quran.” (al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)

al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi


Menguburkan Jenazah
Hadith :
Dari ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhhani r.a katanya:”Ada tiga macam waktu, di mana Rasulullah SAW melarang kita solat atau menguburkan jenazah pada waktu-waktu tersebut. Pertama, saat matahari terbit hingga ia agak meninggi. Kedua, saat matahari tepat berada di pertengahan langit (tengah hari tepat) hingga ia telah condong ke Barat. Ketiga, saat matahari hampir terbenam sehingga ia telah tenggelam sama sekali.”

(Muslim)


Kelebihan Sembahyang Di Masjid Nabi S.a.w
Hadith :
Dari Abu Hurairah, r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Satu sembahyang di masjid ku ini lebih afdhal daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali masjid al-haram di Mekah

(al-Bukhari dan Muslim)


Kelebihan Bulan Ramadhan
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Apabila datangnya bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga dibuka, manakala pintu-pintu neraka ditutup, syaitan dirantaikan.”

Riwayat Bukhari & Muslim

Coretan popular