Pages

Friday 15 July 2011

Kedatangan Islam Dan Pembudayaan Alam Melayu | 2

ISLAM: KESANNYA TERHADAP SOSIO-BUDAYA DAN PEMERINTAHAN

Dalam konteks kesan kedatangan Islam terhadap perubahan sosio budaya ini, saya ingin menyentuh beberapa aspek penting yang berhubung dengan (a) Pendidikan dan pengembangan ilmu (b) Bahasa dan persuratan (c) Kebudayaan dan kesenian (d) Politik dan pentadbiran, dan (e) isu dan cabaran semasa kehidupan sosial umat.

(a) Pendidikan Dan Pengembangan Ilmu

Pendidikan dan pengembagan ilmu adalah warisan Nabawi yang sangat utama. Firman Allah yang pertama disampaikan melalui Jibril kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. adalah kewajipan terhadap pencarian ilmu dengan perintah ‘Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya’ Al ‘Alaq (Segumpal Darah) 96:1-5. Perkembangan ilmu telah membawa kesan yang cukup besar terhadap perubahan sosio-budaya umat Melayu sesudah kedatangan Islam. Sistem awal yang diperkenalkan, mungkin pada mulanya dengan menadah kitab di surau, langgar dan masjid atau di kalangan istana, sehingga kemudiannya terdirinya pondok dan pesantren di serata wilayah dan daerah kepulauan Melayu. Ilmu adalah alat pertama bagi kesempurnaan keperibadian seseorang insan dan pembentukan akhlak.

Proses pembudayaan rantau Melayu banyak sekali dimainkan peranannya oleh para ulama yang berrmula dari pusat-pusat pemerintahan Islam-Melayu seperti Melaka seawal abad ke-15, Jawa, Pasai, Acheh, Palembang dan Banjar, dan kemudiannya Kelantan–Patani, Banten dan Minangkabau. Dari pusat-pusat inilah terpancar keluarnya pengaruh kebudayaan Islam di Alam Melayu dari Semenanjung sehingga ke kepulauan Indonesia, bukan sahaja melalui pengajian pondok atau kegiatan dakwah seperti yang dinyatakan, tetapi juga lewat pengaruh perdagangan dan perluasan wilayah geopolitik baharu seperti Aceh-Pasai dan Johor-Riau itu. Sehingga suku pertama abad ke 20, gerakan ulama mengembangkan ilmu menerusi pendidikan agama tidak pernah surut. Sumbangan seperti ini, ditambah oleh hubungan dengan pusat-pusat kebudayaan Islam di al-Haramain atau Tanah Arab, Mesir dan Turki, juga India dan Pakistan, telah memberikan ciri-ciri khusus terhadap sebuah tamadun Islam di Asia Tenggara yang dikenali sebagai peradaban Melayu-Islam sebagaimana kita kenali adanya peradaban Arab-Islam, Parsi-Islam, India-Islam dan Turki-Islam. Peradaban Melayu-Islam berada dan berkembang di wilayah Alam Melayu.

Di pelbagai wilayah Alam Melayu luas, selain dari pusat-pusat kebudayaan Islam di atas tadi, terdapat cukup ramai para ulama yang berjasa besar dan terserlah sumbangan mereka dalam pembangunan tamadun Melayu. Nama-nama ulama besar itu termasuklah ulama-ulama dari Kelantan-Pattani, Terengganu, Pontianak, Sambas, Sumbawa, Makasar, Minangkabau, Kedah, Lingga dan sebagainya, bahkan tidak terkecuali, pada abad ke-19, Banten dengan tokoh besarnya – Syeikh Nawawie al-Bantaniy. Penerimaan terhadap ajaran Islam dan kebudayaannya menyebabkan kebudayaan Melayu disejajarkan dengan Islam. Maka Islam itu tidak sukar diterima oleh sebahagian besar umat serumpun Melayu itu.

Kalau diteliti lanjut, ulama-ulama tadi cukup aktif menghasilkan karya tulis dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan agama. Dengan kedatangan Islam dan tersebar ajarannya di Nusantara atau Alam Melayu, maka telah tumbuh dan berkembang ilmu-ilmu yang menentukan ciri-ciri kebudayaan Melayu besar serantau itu. Antaranya, yang paling awal, tentu sahaja ilmu-ilmu yang membahaskan tentang ketuhanan dan tasawwur (world view) Islam, iaitu ilmu yang menghuraikan dasar-dasar aqidah Islam. Dalam bidang karya tulis, kita lihat tradisi yang sangat penting ini yang boleh disebut pada abad ke 16 dan 17, dengan tokoh-tokoh di Acheh seperti Hamzah Fansuri, Syeikh Abdul Rauf Singkel, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Shamsuddin al-Sumatrani, berlanjut di Banjar dengan tokoh-tokoh seperti Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari dan Muhammad Nafis al-Banjari. Kemudian Terengganu dengan Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis, penulis kitab Syarh Hikam yang terkenal itu, Palembang dengan Syeikh Abdul Samad al-Palembani, dan kemudian Patani dan Kelantan dengan tokoh-tokohnya dikenal seperti Syeikh Abdul Rahman Pauh Bok, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Syeikh Haji Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fatani, Tuan Minal, Tuk Wan Ali Kutan, Haji Mohd Yusoff Ahmad al-Kenali (Tuk Kenali), Tuan Tabal dan lain-lain, lebih awal lagi di Jawa dengan Wali Songo dan ulama-ulama besar Minangkabau yang bergerak secara langsung dalam gerakan bahasa, persuratan, kesenian dan kebudayan selain dari keagamaan.

Hasil karya para ulama Melayu itu, antara lain, menghuraikan dasar-dasar pandangan hidup Islam dengan menerangkan hakikat ketuhanan dan hubungannya dengan kenyataan-kenyataan yang perlu diketahui dan direalisasi dalam kehidupan seorang Muslim, sehingga dengan demikian, dasar-dasar pandangan hidup Muslim menjadi lebih jelas dan tidak hanya sekadar menjadi suatu rukun daripada rukun-rukun iman yang dihafal dalam kepala sahaja. Beberapa peribadi Islam yang dikenal masyhur dalam menghuraikan ilmu ini seperti al-Ash’ari, al-Maturidi dan al-Ghazaliy, antara lainnya, mempunyai penerjemah-penerjemah dan penghurai-penghurainya di Nusantara.

Selepas ilmu tentang ketuhanan dan world view, maka ilmu yang paling dekat selepasnya ialah ilmu-ilmu tentang ibadat dan hukum-hakam atau fiqh, iaitu ilmu yang mengatur cara berhubung antara manusia sesama manusia dan manusia dengan Tuhannya. Hubungan antara manusia dengan manusia itu telah membentuk kebudayaan dan tata kehidupan sehingga proses penciptaan mereka tetap berpaut kepada aqidah dan tauhid. Manusia membentuk kebudayaan dan tamadun mereka tetapi terasnya adalah agama yang datangnya dari Allah s.w.t., Tuhan Yang Maha Esa. Kemudian, terhurai juga ilmu-ilmu yang menyangkut bidang etika dalam kerangka syariat yang syumul dan meliputi. Dalam bidang ini sifat-sifat utama yang merupakan nilai-nilai baik atau al-Mahmudah dan sifat-sifat tercela keji yang menjadi lawannya atau al-Mazmumah, dihurai dengan jelas dengan cara menghubungkannya dengan kehidupan sosial dan kehidupan seseorang. Malah, tidak jarang perbahasan tentang ilmu ini dikaitkan dengan soal-soal metafizika dan ketuhanan. Antara nama-nama yang sangat terkemuka dalam bidang ini ialah Syeikh Abdul Samad al-Palembani dengan karya besarnya Siyar al-Salikin dan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dengan karya kontroversinya – al-Durr al-Nafis. Dengan berdasar kepada pemahaman doktrin dalam bidang ini serta pelaksanaannya dalam kehidupan perseorangan dan jamaah, maka terbentuklah suatu sistem nilai dan etika Islam di Nusantara, yang kemudiannya menjadi wadah dan acuan kepada sistem moral dan akhlak yang sekarang kita anuti sebagai nilai-nilai bersama.

Dari segi budaya intelektual, Dunia Melayu mempunyai sejarah dan tradisi intelektualismenya sendiri. Kedatangan Islam ke rantau ini telah memulakan tamadun keilmuan dan melibatkan para ilmuwan Melayu dalam perkembangan intelektualisme Dunia Islam. Memang rantau ini belum pernah melahirkan seorang ash-Shafiy atau al-Ghazaliy, tetapi setidak-tidaknya rantau ini memang sentiasa terdedah kepada pemikiran para ilmuwan besar Dunia Islam. Khazanah intelektualisme Melayu tidak cuma mengandungi sastera lipur lara, tetapi meliputi juga terjemahan dan saduran karya-karya besar al-Baydawiy, al-Mawardiy, al-Ghazaliy dan lain-lain di samping karya-karya asli ulama Melayu.Tradisi pengajian pondok (pesantren) yang dianggap oleh setengah kalangan peneliti sebagai bersifat indigenous itu telah memainkan peranan besar sebagai jambatan budaya yang menghubungkan tradisi keilmuan rantau ini dengan tradisi keilmuan Dunia Islam terutama yang berpusat di Asia Barat. Para ilmuwan Melayu tidak hanya menterjemah dan menyadur karya-karya dari luar, tetapi ada juga yang menghasilkan karya-karya asli termasuk karya-karya dalam bahasa Arab. Ash-Syeikh Nawawiy al-Bantaniy (Banten) misalnya telah menghasilkan beberapa buah kitab dalam bahasa Arab yang menjadi rujukan para ulama Hijaz.

Sejarah intelektualisme rantau ini juga mencatatkan adanya polemik-polemik intelektual yang menyegarkan budaya berfikir. Pada zaman tamadun Aceh telah terjadi polemik di sekitar faham wujudiyyah dan pada zaman kebelakangan ini lebih banyak lagi polemik-polemik tentang pelbagai isu termasuklah polemik Islam dan adat tentang pembahagian harta pusaka dalam sistem adat perpatih, polemik politik tentang Islam dan kenegaraan (antara Soekarno dengan Natsir) polemik Kaum Tua-Kaum Muda (tentang pembaharuan Islam), polemik di sekitar faham sekular, reaktualisasi Islam dan sebagainya.

Perkembangan-perkembangan mutakhir dalam bidang pendidikan di rantau ini telah membuka kemungkinan-kemungkinan baru. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa dan ISTAC (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa) di Malaysia umpamanya telah menjadikan rantau ini sebagai salah satu pusat tumpuan para ilmuwan dunia. Sekarang ini pun kita sudah menyaksikan semakin ramainya para pelajar dari pelbagai rantau dunia termasuk Dunia Arab yang datang untuk belajar di kampus-kampus kita.

Dari segi tradisi kerohanian pula, memang sejarah pengislaman rantau ini berkait erat dengan peranan kaum sufi. Kerana itu hingga sekarang rantau Melayu adalah termasuk daerah yang paling subur dengan tradisi kesufian. Ilmu Tasawwuf adalah merupakan antara jenis ilmu yang popular dalam masyarakat Melayu. Karya-karya al-Ghazaliy khususnya kitab ihya’ Ulumi ‘d-Din telah sejak lama diterjemah dan tersebar luas. Tradisi kerohanian masyarakat Melayu pernah membuktikan peranan positifnya sebagai salah satu kekuatan umat. Sejarah zaman penjajahan di Indonesia mencatatkan bahawa antara kekuatan yang paling ditakuti oleh Belanda ialah kumpulan-kumpulan tarekat pimpinan ulama-ulama rohaniah yang sangat berkarisma.

Coretan popular