Pages

Sunday 19 June 2011

Parlimen Belia bermula penghujung 2012

http://www.belia.org.my/

KUALA LUMPUR 14 Jun - Parlimen Belia yang dicadangkan Kementerian Belia dan Sukan dijangka mula bersidang pada penghujung tahun depan atau selewat-lewatnya pada awal 2013.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ini berikutan penubuhannya perlu mendapatkan kelulusan beberapa pihak termasuk Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Belia.
''Kita juga perlu melakukan semakan kepada akta berkaitan selain melakukan proses hebahan mengenai pemilihan perwakilan di samping mengadakan persidangan percubaan disusuli bengkel penambahbaikan," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi memberi taklimat mengenai proses mewujudkan Parlimen Belia yang sudah pun dilaksanakan di 33 negara.

Dalam pada itu, menurut Ahmad Shabery, kementeriannya telah meneliti beberapa model Parlimen Belia dan setakat ini tertarik untuk mengguna pakai model Parlimen Belia Australia.

Selain itu, katanya, kementeriannya juga mencadangkan untuk mengadakan pemilihan wakil belia secara talian dan akan bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ke arah itu.

''Perkara paling penting adalah hari ini apabila kita mendapat restu dan persetujuan daripada semua termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat yang amat positif untuk memberi segala kerjasama terhadap pelaksanaan Parlimen Belia ini," katanya.

Ditanya sama ada penubuhan Parlimen Belia bertentangan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti, Ahmad Shabery berkata, akta itu hanya melarang mahasiswa terbabit dengan parti politik.
''Sebaliknya, tiada penglibatan parti politik di dalam Parlimen Belia," katanya.

Coretan popular