Pages

Friday 10 June 2011

Tidak sukar untuk hidup berlandaskan agama ALLAH


Ramai di kalangan kita beranggapan bahawa agama hanya akan menyulitkan kehidupan dan dipaksa untuk mematuhi pada hukum-hukumnya yang sukar dan payah. Ini hanyalah khayalan yang dibisikkan oleh syaitan bagi menyesatkan manusia. ALLAH dengan jelas menyatakan bahawa DIA pasti akan menyediakan jalan keluar pada setiap kesukaran hidup bagi hamba-hambaNYA yang beriman. Di samping itu, perkara-perkara asas dalam Islam seperti beriman kepada ALLAH juga qada’ dan qadar mampu meringankan beban, menghilangkan kesukaran juga mengelakkan diri daripada berputus asa atau murung. Mereka yang patuh pada hukum ALLAH tidak akan ditimpa rasa gundah, sedih atau putus asa. Di dalam firmanNYA, ALLAH berjanji untuk sentiasa membantu hambaNYA yang menyerah diri kepadaNYA dan yang membantu agamaNYA, dan akan mengurniakan kehidupan yang bahagia di dunia dan juga di akhirat kelak. ALLAH, yang tidak mungkin memungkiri janjiNYA, berfirman:


“Dan katakan kepada orang-orang yang bertaqwa: ‘Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?’ Mereka menjawab: ‘(ALLAH telah menurunkan) kebaikan.’ Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertaqwa.” (Surah an-Nahl: 30)

ALLAH menyediakan berita gembira buat para hambaNYA yang beriman berupa kejayaan bagi mereka yang mematuhi agamaNYA:


“Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan ALLAH) dan bertaqwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyediakan baginya jalan yang mudah.” (Surah al-Layl: 5-7)

Dengan pendedahan rahsia ini, barangsiapa yang memilih untuk patuh pada agamaNYA sedari awal dengan penuh ikhlas, maka mereka telah mengambil jalan paling mudah yang membawa kepada kejayaan dan kelebihan di dunia dan akhirat. Sebaliknya pula berlaku kepada mereka yang tidak beriman. Mereka diselubungi kegundahan, kesedihan juga kerugian di dunia juga di akhirat kelak. Pada saat mereka memilih untuk tidak beriman, mereka kehilangan dunia apatah lagi akhirat. Ini dinyatakan pada firmanNYA:

“Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar.” (Surah al-Layl: 8-10)

ALLAH, Tuhan Yang Maha Memiliki juga Maha Menciptakan segala. Pastinya kekuasaan dan pertolonganNYA melebihi apa yang dapat diberikan oleh manusia apabila seseorang itu mengharapkan keakraban, bantuan dan sokongan ALLAH semata-mata. Mereka yang mengambil ALLAH sebagai tempat bergantung dan menyerahkan segalanya pada ALLAH akan hidup dengan limpahan anugerah dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat tanpa rasa bimbang akan apa-apa yang dapat memudaratkannya. Oleh kerana itu, setiap manusia yang bijak dan percaya pada kata hatinya perlu memahami setiap rahsia yang tersimpan di dalam Al-Quran lalu memilih jalan yang lurus dan diredhaiNYA. Manusia yang tidak beriman tidak akan dapat memahami bahawa fakta yang jelas ini merupakan sebuah rahsia kehidupan. Tidak kira bagaimana bijak atau tinggi taraf pendidikan mereka, individu ini tidak menggunakan kebolehan menaakul dengan baik, maka mereka tidak berupaya memahami dan melihat fakta ini dengan jelas.

Barakallah...

(http://us1.harunyahya.com)

Coretan popular